Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Wanita dituduh curi Milo bebas selepas individu murah hati bayar ikat jamin -

Wanita dituduh curi Milo bebas selepas individu murah hati bayar ikat jamin

SEORANG wanita, Suhaini Mohd. yang menunggu untuk dibicarakan semula kerana dituduh mencuri dua paket Milo bernilai RM74 diikat jamin atas kemurahan hati seorang individu.

Peguam Suhaini, Naran Singh berkata, individu itu membayar ikat jamin RM3,000 semalam di Mahkamah Majistret Marang supaya ibu beranak empat itu dapat dibebaskan daripada penjara Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu.

“Dia dibebaskan petang semalam dan dapat bersatu semula dengan keluarganya,” kata peguam itu lapor FMT.

Pada 5 Julai, Mahkamah Majistret Marang menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan selepas Suhaini, 43, mengaku bersalah atas tuduhan mencuri.

Bagaimanapun, pada 19 Julai, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Hassan Abdul Ghani memerintahkan perbicaraan semula dijalankan selepas beliau mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atas Suhaini.

Hakim tersebut, yang memanggil kes itu atas kehendaknya sendiri selepas ia menarik perhatian umum, bersetuju dengan Naran bahawa prosedur perbicaraan adil tidak dipatuhi apabila Suhaini mengaku bersalah.

Suhaini ketika itu diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Dia kemudian dihadapkan di hadapan majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, selepas prosiding Mahkamah Tinggi, dan didakwa sekali lagi melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di Marang pada 25 Mei.

Kali ini, dia meminta dibicarakan dan dibenarkan diikat jamin RM3,000.

Suhaini dibawa semula ke penjara Pengkalan Chepa memandangkan prosiding berlangsung hingga lewat petang dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 6 Sept.

Kejadian curi itu dirakam kamera keselamatan pasar raya terbabit dan pemiliknya mengekori Suhaini sebelum cuba menahannya.

Dalam keadaan tergesa-gesa untuk melarikan diri, Suhaini meninggalkan motosikalnya di stesen bas Marang.

Suhaini ditahan di rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun, selepas pihak berkuasa mengesannya menggunakan nombor pendaftaran motosikal itu.

Kesnya menarik perhatian ramai termasuk bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad yang menggesa Jabatan Peguam Negara untuk menunjukkan belas kasihan.