ALLAHYARHAM Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, yang mayatnya ditemui di Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, semalam selepas sembilan bulan selepas hilang sejak 29 Oktober tahun lalu, merancang bernikah dengan tunangnya bulan ini.
Menurut bapa saudara Allahyarham, Azuni Abd. Kadir, 47, anak saudaranya itu sudah setahun bertunang sebelum kejadian malang itu berlaku.
“Majlis pernikahan Allahyarham pada awalnya dijadualkan berlangsung Januari lalu.
“Namun kerana bapa tunangan Allahyarham baru meninggal dunia kira-kira dua bulan sebelum kehilangannya, keluarga sepakat menunda majlis pernikahannya pada bulan ini.
“Takdir Allah mengatasi segala perancangan kita. Allahyarham tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan sejak 29 Oktober tahun lalu,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar menjadi tular dalam media sosial tahun lalu, apabila adiknya memohon orang ramai mengesan abangnya selepas gagal dikesan.
Muhammad Iman Aqmar bergerak dari Pasir Gudang jam 1.30 pagi pada 29 Oktober ke Terengganu dengan memandu kereta miliknya, sebelum gagal dihubungi keluarga serta majikan.
Semalam polis menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api itu, dipercayai mayat Allahyarham.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin, dilaporkan berkata mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada pukul 11.40 pagi semalam.
Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan, selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.
Siasatan awal polis terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga lelaki bernama Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain.
Rangka mayat itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat, manakala kenderaan itu ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Azuni berkata, ibu Allahyarham, Asmawati Kadir, 55, bersama waris keluarga yang lain akan ke HTAA esok bagi membolehkan hospital mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mereka untuk dibandingkan dengan rangka yang ditemui.
“Jika proses DNA berjalan lancar dan selesai awal esok, rangka Allahyarham akan dibawa pulang ke Pasir Gudang petang esok bagi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih.
“Insya-Allah pengebumian akan dibuat sama ada petang esok juga atau pagi Selasa,” katanya.
Azuni berkata, ibu Allahyarham dan waris dijadualkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk bertemu polis selain melihat kenderaan Allahyarham.
“Kami menunggu panggilan dari IPD untuk ke sana petang nanti,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.