PERMOHONAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membatalkan notis kebankrapan terhadapnya kerana gagal membayar tunggakan cukai tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi tahun lepas, akan didengar pada 7 Disember ini.
Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan notis kebankarapan itu atas alasan notis yang dikeluarkan LHDN bertarikh 4 Februari lalu adalah berniat jahat, menindas dan penyalahgunaan proses mahkamah selain taktik konspirasi politik bertujuan untuk merosakkan kerjaya politiknya.
Notis kebankrapan terhadap Najib itu difailkan kerajaan, melalui LHDN di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, pada 4 Februari lalu.
Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.
Mahkamah Tinggi memutuskan pada 22 Julai tahun lepas, bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.
Mengikut Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967, seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran tersebut kepada LHDN walaupun rayuan difailkan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.