Dana MITRA: Pemilik syarikat tidak mengaku salah guna RM100,000

Oleh BADLISHAH MAT

SEORANG pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan salah guna dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berjumlah RM100,000, Februari tahun lalu.

Tertuduh, K. C. Ramananaidu, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan curang menyalahgunakan wang tunai RM100,000 milik kerajaan melalui MITRA bagi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India B40 untuk bidang pertanian.

Ramananaidu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Agrobank Bank Berhad Cawangan Sungai Petani pada 26 Februari 2021.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara minimum enam bulan atau dengan sebatan serta denda.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd. Zulfadli Azharudin menawarkan jaminan RM80,000 bagi semua pertuduhan.

Namun, peguam Miguel Sequerah yang mewakili tertuduh memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM20,000.

Harmi Thamri kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM50,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tertuduh tidak boleh menganggu saksi dan perlu hadir ke mahkamah pada tarikh ditetapkan.

Mahkamah menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Tertuduh membayar jaminan berkenaan. – SB