Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
16,381 guru pengambilan khas sudah mengisi kekosongan di sekolah -

16,381 guru pengambilan khas sudah mengisi kekosongan di sekolah

SERAMAI 16,381 guru yang diambil melalui pengambilan khas sudah ditempatkan di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengisi kekosongan sedia ada.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata secara keseluruhannya, KPM mengumumkan pengambilan khas seramai 18,702 pegawai perkhidmatan pendidikan Gred DG41 secara ‘oneoff’ pada Jun lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, urusan lantikan dan penempatan 16,381 guru berkenaan sudah selesai dilaksanakan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“Daripada jumlah terbabit, seramai 13,770 guru adalah lantikan secara tetap manakala 2,611 lantikan secara kontrak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ma’Mun Sulaiman (WARISAN-Kalabakan) yang ingin tahu sama ada pengambilan guru khas sudah dilaksanakan sepenuhnya.

Pada masa sama, Radzi berkata, KPM turut memperkenalkan kaedah kluster mata pelajaran bagi pengambilan guru secara ‘one-off’ supaya dapat membuka peluang kepada lebih ramai graduan untuk memohon berdasarkan kepada pemetaan ijazah sarjana muda dengan mata pelajaran yang bersesuaian.

Beliau berkata, graduan yang memiliki bidang pengkhususan utama tertentu boleh memohon untuk mengisi kekosongan mata pelajaran lain yang dikategorikan dalam kluster yang sama.

“Penggunaan kluster mata pelajaran akan diteruskan dalam urusan pengambilan yang seterusnya, kluster yang digunakan ini akan sentiasa dinilai dan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Radzi berkata, KPM sememangnya ingin melaksanakan opsyen menugaskan guru di sekolah yang paling dekat dengan tempat asal mereka termasuk di Sabah.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya berdepan kesukaran kerana bekalan guru yang ada pada KPM tidak mengikut opsyen yang diperlukan.

“Kita mahu guru ditempatkan paling dekat (dengan tempat asal mereka) supaya isu pertukaran tidak berlaku pada masa depan namun ada opsyen tidak mengikut bekalan menyebabkan kita terpaksa mengambil guru dari negeri lain ke Sabah.

“Namun KPM sekarang melaksanakan urusan pertukaran secara bersama, maksudnya apabila ada pertukaran, ada juga kemasukan bagi mengatasi (kekosongan) atau meminimumkan kesannya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ma’Mun yang mempersoalkan mengapa tidak menugaskan guru berasal dari Sabah untuk mengajar di negeri itu bagi menangani isu pertukaran yang mengakibatkan kekosongan di sekolah.