Oleh RIZQI ZABIDI
Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun setelah dia disyaki mencederakan rakannya yang berusia 10 tahun, setelah kehendaknya agar mangsa melakukan seks oral, tidak dipenuhi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 petang, Ahad lalu dengan suspek dikatakan terlebih dulu membawa mangsa menaiki kereta Perodua Kancil dipandunya ke kedai dalam sebuah taman perumahan di Gurun Kedah.
Selepas itu katanya, suspek mengarahkan mangsa melakukan seks oral namun mangsa enggan menuruti arahan tersebut.
“Berang dengan keengganan mangsa, suspek lalu menampar dan memukul rakannya itu. Tidak berakhir di situ, dia lalu membawa mangsa ke rumahnya dan sekali lagi mengarahkan agar kehendaknya dipenuhi.
“Mangsa bagaimanapun tetap enggan menuruti kehendak suspek. Disebabkan itu, suspek dikatakan mencekik leher mangsa serta turut menggunakan sebilah pisau bagi menakut-nakutkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam di pipi serta calar di badan akibat terkena pisau digunakan suspek.
Mengulas lanjut katanya, mangsa kemudiannya berlari ke rumahnya dan memaklumkan kejadian tersebut kepada bapanya.
“Bapa mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Gurun dan suspek ditahan kira-kira pukul 7.19 malam kelmarin di rumahnya.
“Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam dengan mangsa dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan serta mendapatkan rawatan.
Katanya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.