Filem Mat Kilau kutip RM47 juta selepas 11 hari tayangan, bakal cipta rekod pecah panggung

Filem biografi epik, “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” yang telah mencetuskan fenomena luar biasa berjaya meraih kutipan tiket berjumlah RM47 juta selepas 11 hari ditayangkan di negara ini, Singapura dan Brunei.

Pengarahnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof menerusi hantaran di Instagram peribadinya, berkata jumlah kutipan itu bakal mengatasi rekod pecah panggung filem Munafik 2 yang juga karya arahannya pada tahun 2018.

“Mat Kilau adalah filem terpantas mencecah RM47 juta hanya dalam 11 hari. Bakal mengatasi rekod pecah panggung Munafik 2 (RM48 juta). Hilang kata…limpah kurnia dari-Nya. Alhamdulillah terima kasih semuanya. Majulah filem untuk bangsa dan negara,” katanya, mengikut laporan Bernama.

Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 itu juga berkata filem tersebut juga masih menduduki carta filem nombor satu di Malaysia selain berjaya mengetepikan filem Hollywood untuk minggu kedua.

Sejak ia mula ditayangkan pada 23 Jun lepas, filem yang dinspirasikan daripada sejarah benar pahlawan tanah air itu telah menjadi antara perbualan utama di media sosial.

Selain itu, filem tersebut juga telah membangkitkan semangat kepahlawanan apabila ramai yang berbusana Melayu dan bersilat ketika menotonnya di pawagam.

Filem yang menelan kos RM8 juta itu dibarisi ramai pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Wan Hanafi Su, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, A. Galak, Ellie Suriaty, Khir Rahman dan pelakon dari seberang yang mencipta nama di Hollywood, Yayan Ruhian.