PAS masih belum membuat keputusan muktamad berhubung isu penggunaan logo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas masih mengkaji dari segala sudut, termasuk kemungkinan penggunaan logo itu mampu memperoleh kekuatan dan sokongan daripada rakyat.
Katanya, isu penggunaan logo bukan asing bagi mereka kerana pada 1974, parti berkenaan pernah bertanding PRU menggunakan logo Barisan Nasional (BN).
“Kemudian kita menggunakan logo kita sendiri dan sebagainya. Logo itu satu benda yang tidak asing bagi kita. Kita akan putuskan bila sampai masanya nanti,” kata Takiyuddin, lapor Astro AWANI.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kursus Malim Gunung Perhutanan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di Kampar pada Isnin.
Menurutnya, cadangan penggunaan logo itu juga bukan bermakna Pas berniat untuk menjauhkan diri daripada Perikatan Nasional (PN).
Sabtu lalu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, cadangan penggunaan logo Pas adalah sebahagian daripada strategi parti itu untuk menghadapi PRU15.
Namun, katanya, perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat tertinggi PN.
Terdahulu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin memberi bayangan bahawa parti itu akan mengunakan logo sendiri pada PRU15 kelak.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.