Air bertakung bongkar penemuan mayat jiran

“Saya pelik melihat air paip dari dalam rumah mangsa mengalir sehingga bertakung di depan rumahnya,” kata Mohd Rozlan Deraman sebelum menemui mayat jirannya yang membengkak, hari ini.

Mayat Anuar Yusof, 52, ditemui dalam keadaan terlentang dan berbau busuk di ruang tamu rumahnya di Kampung Lubuk Panjang, Bukit Besi, Terengganu, kira-kira jam 8.30 pagi.

Mohd Rozlan, 55, yang berniaga kedai makan bersebelahan rumah mangsa berkata, kali terakhir dia menemui mangsa pada pagi khamis lalu ketika mangsa minum di kedainya.

“Dia (mangsa) memang tinggal bersedirian di rumah itu. Pagi khamis itu dia datang minum dan seperti biasa, arwah akan bergurau dengan saya dan penduduk kampung dan tidak menunjukkan perbuatan pelik.

“Pada hari yang sama kira-kira jam 7 petang, saya ada mendengar dua kali mangsa menjerit dan saya tidak ambil pusing dan menganggap mungkin kerana mangsa bosan,” katanya, lapor BH Online.

Katanya, beberapa minit selepas itu, dia ternampak mangsa keluar dari rumah dengan menunggang motosikal.

“Sejak dari itu, saya tidak lagi melihat mangsa dan ketiadaan mangsa sepanjang tiga hari menimbulkan sunggutan daripada kawan-kawannya.

“Pada hari Sabtu, saya dan pelanggan kedai terhidu bau busuk dan kami semua sangka bau itu adalah sampah atau bangkai binatang yang mati di kawasan semak,” katanya.

Katanya, pagi ini, dia mengambil keputusan memeriksa di sekitar kawasan kedai sebelum mendapati air mengalir begitu banyak keluar dari rumah mangsa.

“Saya ingat mangsa lupa menutup paip dan saya bersama rakan, Mohd Redzuan Mohd Zain, 44, pergi ke rumah mangsa selepas sahutan tidak dijawab, kami mengintai di celah tingkap sebelum mendapati mangsa telah meninggal.

“Saya buka pintu depan rumahnya yang tidak berkunci dan ketika itu kami dapati bau mayat itu sangat kuat sebelum kami segera menghubungi pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan polis mendapati mangsa yang bekerja sebagai buruh di sebuah kilang kayu di Bukit Besi dipercayai meninggal sejak beberapa hari lalu.

“Keluarga mangsa telah dihubungi beehubung kejadian itu dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal polis mendapati tiada wujud sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”katanya.