Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Peniaga rugi lebih setengah juta ditipu sindiket pelaburan tidak wujud -
Lova scam

Peniaga rugi lebih setengah juta ditipu sindiket pelaburan tidak wujud

SEORANG peniaga berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM583,555 apabila terperdaya skim pelaburan melalui aplikasi RRR68.club.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, pada 14 Februari lalu, mangsa iaitu wanita berusia 35 tahun telah menerima mesej WhatsApp dari nombor +6584231224 yang menawarkan pelaburan tersebut.

Menurutnya, mangsa dari Bukit Pelandok kemudiannya melayari aplikasi RRR68.club dan setelah bersetuju dengan pelaburan tersebut, mangsa membuat 52 transaksi kemasukan wang berjumlah RM583,555 ke dalam 13 akaun yang berbeza.

“Mangsa membuat transaksi dari tarikh 15 Februari lalu sehingga transaksi terakhir pada 23 April. Selepas 25 Mei, mangsa mendapati dia tidak lagi boleh membuat sebarang akses ke dalam aplikasi tersebut.

“Wang yang digunakan mangsa bagi pelaburan berkenaan merupakan wang simpanan mangsa semasa bekerja sebagai penasihat jualan dan juga hasil keuntungan perniagaan makanan secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Aibee berkata, mangsa yang berasa ditipu segera membuat laporan di Balai Polis Bukit Pelandok kelmarin bagi tindakan selanjutnya.

Menurutnya, hasil semakan mendapati nombor telefon yang digunakan bagi menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp tidak mempunyai rekod kes penipuan, bagaimanapun, bagi akaun untuk pemindahan wang terdapat kes lain yang telah dilaporkan.

“Kes disiasat di bawah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan,” katanya.