‘Madah Berhelah’ hilangkan gemuruh ambil vaksin

BAGI menghilangkan rasa gemuruh terhadap jarum suntikan vaksin, seorang wanita orang kurang upaya (OKU), di Johor Bahru, Johor memilih untuk mendengar lagu nyanyian penyanyi kegemarannya, Ziana Zain.

Ariyanti Abdul Samad, 37, adalah OKU sindrom Down menerima suntikan dos pertama vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu OKU Sentral, di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru, Arena Larkin.

Kakaknya Azlina Abdul Samad, 46, berkata dia membuka lagu nyanyian penyanyi popular itu sebaik keluar daripada rumahnya di Senai, untuk menghantar adiknya menerima vaksin di PPV berkenaan, bagi membuatkan adik bongsunya itu berasa tenang.

“Adik saya memang suka dengar lagu Ziana Zain, jadi saya buka lagu nyanyiannya seperti ‘Madah Berhelah’ sepanjang perjalanan untuk bagi adik rasa tenang dan tidak terlalu memikirkan tentang jarum suntikan.

“Proses untuk menerima vaksin di PPV Pandu Lalu ini juga menjadi sangat mudah dan lancar, memandangkan petugas-petugas di situ juga pandai mengendalikan OKU,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPV itu.

Azlina berkata, walaupun gemuruh, Ariyanti tetap memberikan kerjasama yang baik kepada petugas di PPV berkenaan dan sentiasa kelihatan tenang.

Ariyanti merupakan antara 400 penerima vaksin di PPV Pandu Lalu OKU Sentral itu, yang mula beroperasi pada hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan OKU Sentral Ras Adiba Radzi yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dan Datuk Bandar Johor Bahru, Mohd Noorazam Osman.

Sementara itu, bagi L.Mohana, 31, yang hilang tangan kiri sejak 2014 selepas diserang kanser tulang pula menjelaskan, beliau bersemangat untuk datang ke PPV berkenaan hari ini, walaupun berasa sedikit gementar.

“Mula-mula rasa gemuruh tetapi selepas itu saya rasa lega sebab telah selesai divaksin. Saya juga harap PPV Pandu Lalu seperti ini diperluas, bagi memudahkan golongan OKU seperti kami,” katanya.

PPV Pandu Lalu OKU Sentral, yang beroperasi enam hari seminggu itu, dijangka beroperasi sehingga 25 Okt ini.

Ia mempunyai lima stesen iaitu saringan, penilaian, pemeriksaan, vaksinasi dan pemerhatian, serta bilik tenang bagi OKU yang memerlukan lebih perhatian.