Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tiada gangguan bekalan ubat secara menyeluruh di pasaran - KKM -

Tiada gangguan bekalan ubat secara menyeluruh di pasaran – KKM

Tiada gangguan bekalan ubat-ubatan dengan bahan aktif paracetamol bagi rawatan demam dan sakit ringan, vitamin C, serta ubat batuk dan selsema di pasaran, kata Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Norhaliza A. Halim.

Dalam kenyataan hari ini bagi menjelaskan laporan berhubung kekurangan bekalan ubat-ubatan, Norhaliza berkata ini kerana kebanyakan produk terbabit mempunyai alternatif dari pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi sama.

Menurut laporan media, berlaku kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal melibatkan ubat-ubatan untuk rawatan demam, selsema dan batuk, sakit tekak, antibiotik, ubat tahan sakit serta ubat-ubatan bagi mengurangkan gejala penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Norhaliza berkata terdapat peningkatan permintaan mendadak bagi beberapa jenis ubatan seperti produk dengan bahan aktif paracetamol bagi rawatan demam dan sakit ringan, vitamin C serta ubat batuk dan selsema untuk kegunaan kanak-kanak.

Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh pihak industri farmaseutikal dalam satu perjumpaan bersama Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA) dan Malaysia Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS) semalam.

“Pihak pengilang juga telah meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang tinggi,” katanya.

Norhaliza berkata KKM sedang mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak industri berhubung status sebenar bekalan ubat-ubatan yang dihasilkan di Malaysia atau diimport serta isu-isu berkaitan dengannya.

Beliau berkata pemantauan ketat dan penyelesaian terhadap setiap isu dialami akan diteliti melalui komunikasi berterusan antara Kementerian Kesihatan dan pihak industri farmaseutikal bagi memastikan kesinambungan bekalan ubat-ubatan berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat Malaysia.—Bernama