DAKWAAN yang mengatakan datuk seri Mohamed Azmin Ali mengugut menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah tidak benar.
Setiausaha Politik Mohamed Azmin, Muhammad Hilman Idham ketika menjelaskan perkara itu memberitahu, dakwaan yang dilaporkan oleh beberapa buah portal itu kononnya akan dilakukan Azmin kiranya tidak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Muhammad Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia juga menyifatkan laporan-laporan sebagai berniat jahat dan tidak bertanggungjawab.
“Laporan tersebut diyakini bertujuan untuk menggugat kestabilan dan perpaduan yang semakin utuh dalam Perikatan Nasional (PN) yang mendukung kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
“Amat dikesali, kedua-dua portal media tersebut tidak dapat mengesahkan kebenaran sumber yang dilaporkan demi menjamin laporan yang tepat dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan keluarkan pada hari ini.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa (MITI) ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin itu antara nama yang disebut-sebut bakal mengalas jawatan timbalan perdana menteri dalam pentadbiran yang diterajui Ismail Sabri.
Mohamed Azmin juga pernah dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika Pakatan Harapan menguasai kerajaan dan pernah menjawat jawatan Menteri Besar Selangor.
Beliau juga merupakan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum meninggalkan parti itu tahun lalu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.