Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Jawatan Zuraida sebagai MPT Bersatu tergugur serta-merta – Hamzah -

Jawatan Zuraida sebagai MPT Bersatu tergugur serta-merta – Hamzah

JAWATAN Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu tergugur dengan serta-merta selepas beliau mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini, kata Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata beliau telah ambil maklum mengenai kenyataan yang dibuat Zuraida itu dan akan membawa perkara berkenaan ke pertimbangan MPT serta bentuk tindakan yang akan diambil terhadap Zuraida.

“Buat masa ini beliau (Zuraida) belum meletakkan jawatan dalam Bersatu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen 2022 di Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada dua minggu lepas telah bersetuju untuk untuk menggantikan jawatan Zuraida sebagai MPT Bersatu dengan individu lain.

“Ini berikutan satu surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada Zuraida pada 9 Mei untuk beliau menjawab beberapa soalan berhubung penglibatannya dengan aktiviti yang dianjurkan oleh PBM.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak kakitangan Imigresen sambil diperhatikan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (kanan) pada Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Namun, pada 23 Mei menerusi satu surat balas daripada Zuraida, beliau menolak pertuduhan bahawa beliau merupakan ahli PBM dan memohon pejabat Setiausaha Agung Bersatu menyertakan bukti atas tuduhan berkenaan. Tetapi segalanya terjawab pada hari ini,” katanya.

Mengulas mengenai jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang disandang Zuraida, Hamzah berkata jumlah menteri Kabinet daripada Bersatu telah dipersetujui sebelum ini oleh presiden Bersatu dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bermakna, jika Zuraida digugurkan daripada Bersatu maka tempatnya itu akan digantikan oleh seseorang dari Bersatu seperti yang dicadangkan presiden parti untuk menjadi menteri yang mewakili Bersatu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Bersatu akan terkesan dengan kehilangan Zuraida, Hamzah berkata parti tidak terkesan kerana Zuraida juga sudah tidak aktif dan hanya menggunakan Bersatu untuk kepentingan dirinya.

“Mesyuarat Agung dan MPT juga beliau tidak hadir. Saya berpendapat, beliau telah menunjukkan sikap sebenarnya. Beliau tidak hadir beberapa mesyuarat parti, iaitu lebih daripada enam mesyuarat,” katanya.

Zuraida hari ini mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) kerana percaya dengan perjuangan parti itu dan enam prinsip terasnya. – Bernama