Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pandu melulu di lorong kecemasan, pemandu Myvi ditahan -

Pandu melulu di lorong kecemasan, pemandu Myvi ditahan

PIHAK polis menahan seorang pemandu Perodua Myvi kerana  memandu secara melulu di lorong kecemasan di Kilometer 27 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala selatan pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pemandu lelaki itu ditahan pada pukul 7 malam di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.

Katanya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku sekitar jam 4 petang, pada Isnin.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan satu video tular yang dimuat naik dalam laman Facebook penama akaun Azrai Zulkefeli yang memaparkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran JKW261 jenis Perodua Myvi memandu secara melulu di lorong kecemasan.

“Lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai penyelia itu dipercayai secara sengaja memandu secara melulu di lorong kecemasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan itu, Tok Beng menegaskan pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan dan undang-undang bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain sekaligus mengelakkan kemalangan.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar undang-undang.

“Kes berkenaan akan disiasat dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya.

Menerusi satu video tular berdurasi 34 saat memaparkan sebuah kereta Myvi berwarna merah cuba memotong sebuah lori treler di laluan kecemasan sehingga hampir berlaku kemalangan antara dua kenderaan terbabit.

Video berkenaan turut memaparkan kejadian itu berlaku ketika terdapat kesesakan jalan raya di kawasan terbabit.