PEMIMPIN politik blok pembangkang terutamanya Pakatan Harapan (PH) seharusnya memberi ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik untuk menguruskan pemilihan Timbalan Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Di bawah Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri-menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.
“Blok pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH) tidak perlu jadi budak nakal di dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen mengganggu dan menggugat tak tentu hala Perdana Menteri yang baru sahaja dilantik ini.
“Rakyat tak suka, semua orang tak suka. Biarkan Ismail Sabri menguruskan pentadbiran negara dengan tenteram,” katanya di dalam satu surat terbuka kepada Anwar Ibrahim dan pemimpin blok pembangkang, semalam.
Beliau berkata, sekalipun Ismail Sabri menghadapi asakan oleh saingan politinya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau lain-lain parti dalam Perikatan Nasional (PN), blok pembangkang perlu mengambil perkara tersebut sebagai iktibar.
“Ambil sikap, itu urusan dalam klik pemerintah sekarang. Kalau cerita penglipur lara di sebut, ‘biarkan si Luncai, terjun dengan labu-labunya’, ujarnya.
Tambahnya, PH sepatutnya menumpukan tenaga dan fikiran kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang tidak sampai dua tahun lagi selepas terlepas peluang untuk kembali menjadi kerajaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan PH turut tidak boleh mengetepikan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau gagal untuk menjadi Perdana Menteri ke-9 kerana mereka masih lagi memerlukan pimpinan Anwar dalam menghadapi PRU yang akan datang.
Hassan menyifatkan cadangan yang meminta PH untuk memilih pemimpin lain dengan alasan Anwar tidak diperlukan lagi sebagai tidak munasabah dan perkara tersebut datang daripada musuh mereka untuk menghancurkan PH dan Anwar terutamanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.