HASRAT penyanyi Noraniza Idris untuk menjemput Datuk Siti Nurhaliza ke konsert solonya nampaknya mendapat maklum balas positif apabila penyanyi nombor satu itu menyatakan persetujuan untuk hadir.
Terdahulu, Noraniza mengatakan hasrat mahu menjemput Siti menjadi tetamu VIP sempena konsert Malai Solo yang bakal diadakan bulan Oktober nanti.
Konsert solo anjuran Noraniza sendiri bakal menjadi konsert solo terakhir anjurannya yang bakal diadakan di Istana Budaya.
“Saya memang ada hasrat untuk jemput dia sebagai tetamu istimewa ketika konsert Malai Solo saya nanti.
“Sebab ini konsert terakhir yang akan saya anjurkan untuk diri sendiri. Saya berharap Siti dapat hadir sebagai tetamu istimewa saya,” katanya baru-baru ini.
Bakal menelan belanja sebanyak RM2.5 juta, Malai Solo bukan hanya sekadar konsert semata-mata sebaliknya akan menjadi festival seni untuk semua.
Ia akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti lain untuk terus menyemarakkan lagi irama tradisional seperti mana yang sudah dilakukan oleh Noraniza sejak beberapa tahun yang lalu.
Pada dasarnya, hubungan antara kedua-dua mereka ‘dingin’ sejak dahulu lagi. Tiada sebab jelas punca perkara berkenaan terjadi, namun masing-masing bersikap profesional melewati kerjaya seni.
Jika ada yang masih ingat, Noraniza dan Siti pernah berduet menerusi lagu Hati Kama dan Dondang Dendang yang disifatkan sebagai antara lagu tradisional paling popular pada era itu.
Kedua-dua mereka pernah memuncak naik dengan karya Allahyarham Suhaimi Mohd Zain namun selepas itu mereka ‘membawa haluan’ sendiri sehinggalah ke hari ini.
Bagi Siti pula, dia bersyukur dengan niat murni dan ingatan penyanyi berkenaan terhadap dirinya termasuklah menitipkan pesanan kepadanya ketika berada di Memah baru-baru ini.
“Bagi Siti, sekiranya tidak ada apa-apa halangan, Insya-Allah Siti hadir sebagai tetamu, tiada masalah,” katanya seperti dipetik Astro Awani.
Sebagai rakan artis, Siti juga berharap agar segala urusan dan perancangan Noraniza dipermudahkan dan tidak berhenti setakat itu sahaja.
“Janganlah berhenti menyanyi. Siti rasa ramai orang sangat menghargai Kak Ani sebagai pejuang lagu-lagu irama tradisional.
“Tapi Siti faham masing-masing ada matlamat dalam kehidupan dan kerjaya. Apapun, Siti doakan yang terbaik buat Kak Ani,” tambahnya lagi. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.