PASUKAN penyelamat menemui anggota badan manusia, dipercayai milik salah seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air ketika sedang mendaki Gunung Suku, Simpang Pulai, Ipoh, Ahad lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Muhammad Shahrizal Aris berkata, pasukan penyelamat telah menemui kaki manusia pada jam 5.05 petang hari Ahad, kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum hilang.
Pasukannya itu kemudiannya menemui satu lagi anggota badan manusia dalam timbunan kayu semasa operasi pencarian dijalankan, seperti yang dilaporkan Berita Harian, hari ini.
Namun katanya, pasukan penyelamat masih belum memastikan sekiranya bahagian yang ditemui itu adalah sama dengan bahagian kaki yang ditemui semalam.
“Ia kerana bahagian badan terbabit ditemui di dua kawasan yang berbeza. Jadi, kami masih tidak dapat memastikan sama ada kedua-dua anggota badan dari mangsa yang sama,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Operasi pencarian kini dibahagikan kepada dua pasukan, iaitu meneruni laluan arus dari sungai ke bawah sungai, sementara sepasukan lagi mencari dari bawah, menaiki laluan arus sungai dari hilir sungai.
Bagaimanapun, keadaan cuaca yang tidak menentu di kawasan kejadian dilihat mungkin memanjangkan lagi tempoh pencarian, dengan kawasan laluan air sepanjang 800 meter menjadi lokasi tumpuan pencarian.
Sebelum ini, dua wanita dilaporkan hilang ketika mendaki bersama 27 pendaki lain di kawasan Gunung Suku pada Ahad, dikhuatiri dihanyutkan kepala air.
Mangsa yang dikenali sebagai See Su Yen, 32 dan Ng Yee Chew, 46, masing-masing berasal dari Cheras dan Klang.
Ketika kejadian, sekumpulan 29 pendaki gunung mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.
Namun, ketika menuruni gunung tersebut, kepala air melanda kumpulan itu dengan dua daripadanya dihanyutkan arus deras.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.