SEORANG lelaki ditemui lemas selepas dipercayai bertindak terjun ke dalam Sungai Melaka gara-gara dikejar sekumpulan individu, di sini, pada malam tadi.
Memetik laporan Kosmo! mayat mangsa berusia lingkungan 40-an ditemui pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Melaka Tengah pada pukul 8.46 malam.
Menurut seorang saksi, Mimie Suraya Mohd., 25, sebelum kejadian dia bersama rakannya terdengar bunyi kecoh seperti pergaduhan dan ternampak seorang lelaki dikejar sekumpulan individu.
“Ketika itu saya sedang berjumpa dengan rakan yang datang ke tempat kerja di pos pengawal kira-kira pukul 6.30 petang dan kami nampak mereka berlari.
“Kawan saya yang berasa curiga telah mengekori kumpulan tersebut, namun tidak lama kemudian datang semula beritahu lelaki dikejar telah terjun ke dalam sungai,”katanya ketika ditemui di Pengkalan Rama Pantai di sini, malam tadi.
Tambahnya, difahamkan kekecohan itu berlaku selepas lelaki tersebut dikatakan telah menampar salah seorang individu daripada kumpulan tersebut.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Khairudin Atan berkata, pihak menerima panggilan berhubung kes itu pada pukul 7.07 malam dan sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dan EMRS dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi kita telah melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai seorang lelaki berusia 40-an.
“Mayat mangsa kemudian ditemui pada pukul 8.46 malam berhampiran lokasi yang didakwa saksi tempat dia terjun,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.