PELBAGAI pihak mencadangkan supaya barisan Kabinet yang akan dibentuk kelak bersaiz sederhana dan paling penting, ia mesti pasukan yang efisien dalam mendepani situasi sukar ketika ini.
Ketika ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih belum memutuskan senarai muktamad barisan kabinet dan keputusan itu dijangka diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas itu itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, berkata Kabinet bersaiz sederhana memadai bagi menjimatkan kos, selain perlu dianggotai tokoh berwibawa, disenangi dan faham derita rakyat.
“Kementerian yang penting seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan perlu dijawat oleh tokoh yang berwibawa, bersih dan bebas tohmahan rasuah dan salah guna kuasa.
“Kabinet yang seimbang dari sudut gender, geografi, kaum dan tokoh muda. Kabinet yang boleh beri kestabilan politik dan cekap bekerja,” katanya, memetik laporan Berita Harian.
Katanya, Kabinet baharu nanti perlu mampu merealisasikan jaminan Perdana Menteri bahawa mereka akan mendengar suara anak muda dan melibatsertakan wakil anak muda dalam platform pembuatan dasar di kementerian masing masing.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, pula menegaskan, bekas menteri yang gagal patuh prosedur operasi standard (SOP) tidak perlu dilantik semula menyertai Kabinet.
“Bagi kementerian yang penting untuk proses penggubalan undang-undang, contohnya menteri undang-undang dan Parlimen atau menteri agama, hendaklah dilantik daripada wakil rakyat dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat, bukan dalam kalangan Ahli Dewan Negara atau Senator.
“Ini kerana menteri-menteri ini perlu bentang dan bahas rang undang-undang di Dewan Rakyat. Ahli Dewan Negara atau Senator tidak ada ‘locus’ untuk berbahas di dewan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berharap supaya agenda memartabat mahasiswa Malaysia akan terus diperkasa.
“Dalam ucapan Perdana Menteri semalam juga menyebut bahawa suara anak muda akan didengari. Kami sangat menyambut baik perkara ini kerana masa hadapan negara terletak di tangan belia dan kepemimpinan anak muda hari ini,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.