[VIDEO] Bertolak ansurlah UMNO, jangan bongkak, takbur

PEMIMPIN UMNO diingatkan supaya tidak bersikap bongkak, takbur meskipun Perdana Menteri hari ini dilantik daripada parti itu.

Penulis blog, Raja Petra Kamarudin berkata, UMNO perlu sedar tanpa sokongan pemimpin Bersatu dan PAS, pemimpin UMNO tidak akan menjadi Perdana Menteri 

Justeru tindakan sesetengah pemimpin UMNO membuat kacau, menimbulkan kontroversi termasuk dalam pengunaan istilah kerajaan Perikatan Nasional perlu dihentikan.

“Jadi beralah la sikit, bertolak ansur lah sikit. Nama apa tak penting tetapi nyawa dan periuk nasi rakyat Malaysia lagi penting. Itu patut menjadi fokus,” katanya.

Raja Petra berkata beliau pelik dengan sikap beberapa pemimpin UMNO itu seolah-olah mereka mempunyai agenda lain.

Katanya, adakah pemimpin UMNO itu sengaja mahu menyakitkan hati pemimpin Bersatu dan Pas supaya mereka meninggalkan Perikatan Nasional.

“Atau adakah ini maksud mereka untuk menyakitkan hati sehingga parti bersatu, Pas keluar supaya ada alasan mereka untuk bergantung kepada DAP dan PKR,” ujarnya.

Raja Petra mengingatkan pemimpin UMNO berkenaan supaya sedar daripada 114 ahli Parlimen menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, hanya 40 orang ahli Parlimen UMNO.

Dan jika UMNO bertindak meninggalkan Perikatan Nasional, hanya segelintir ahli Parlimen mereka ikut, sekali gus menyebabkan perpecahan dan UMNO hancur, bukan Perikatan Nasional.

Justeru pemimpin UMNO perlu bermuhasabah diri bahawa UMNO kini bukan lagi parti peneraju dalam politik negara, sebaliknya pengikut.

Oleh itu, jangan bersikap bongkak dan takbur serta bercakap seolah-olah tidak ingat ketentuan Tuhan.

“Tengoklah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Sudah 40 tahun berusaha hendak jadi Perdana Menteri tetapi masih tidak kesampaian,” ujarnya.