Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kementerian tidak boleh sekat serta-merta video raya Aliff Shukri - Annuar  -

Kementerian tidak boleh sekat serta-merta video raya Aliff Shukri – Annuar 

WALAUPUN video Aidilfitri Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menerima kecaman banyak pihak yang mendakwa kandungannya mencolok mata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak mempunyai hak untuk menyekat serta-merta.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya perlu melengkapkan siasatan terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut boleh diambil.

“Kita tak boleh sekat sebab nanti orang saman kita. Kalau nak sekat kena berdasarkan undang-undang. Kementerian dan menteri tak boleh sekat. Yang boleh sekat mahkamah.

“Kalau boleh sekat, macam-macam saya dah sekat, tetapi kita ada akta, maknanya kalau langgar undang-undang, baru boleh ambil tindakan,” katanya memetik laporan BH Online selepas Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia 

di Putrajaya, malam Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu rakaman video Aidilfitri mencolok mata usahawan kosmetik terbabit selain mengesahkan beberapa orang termasuk Aliff hadir memberi keterangan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya, pagi tadi.

Terdahulu, Aliff Syukri yang tiba di SKMM pada jam 9.58 pagi Selasa, memberi keterangan hampir lima jam bagi membantu siasatan berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri yang dikaitkan dengan unsur bertentangan norma dan budaya tempatan.

Ketika ditemui pemberita, usahawan itu merayu semua pihak tidak mengaitkan ahli keluarganya dalam isu video Aidilfitri mencolok mata yang dilakonkannya baru-baru ini.

Beliau juga turut memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan tindakannya itu.

Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video berkenaan.

Penayangan video berkenaan melalui media sosial mendapat kecaman ramai pihak berikutan ia memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut dengan tarian mencolok mata. – SB