MELIHATKAN kebanyakan penyanyi bernada tinggi akan ‘sangkut’ apabila tiba masanya, perkara tersebut biasanya terjadi seiring dengan faktor umur yang semakin meningkat dari setahun ke setahun.
Tidak dinafikan perkara tersebut sememangnya memberikan tekanan kepada kebanyakan penyanyi bernada tinggi termasuklah Azlan Typewriter.
Jelasnya, ada kalanya dia risau sekiranya tidak lagi mampu menyanyikan lagu dengan nada yang tinggi disebabkan faktor umur pada masa hadapan.
“Buat masa ini saya masih lagi selesa menyanyi dengan nada yang tinggi. Cuma kalau difikirkan pada masa hadapan, kena buat persediaan awal sebelum melalui fasa berkenaan.
“Kita masih boleh turunkan key untuk menyanyi dengan lebih selesa. Paling tidak kena jaga stamina dan teruskan latihan dari semasa ke semasa untuk menjaga teknik nyanyian dan sebagainya,” kata Azlan.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu sebahagian besar penyanyi lama yang sering menghulurkan mikrofon kepada peminat ketika melakukan persembahan.
Jelasnya, pada dasarnya dia bersedia menghadapi keadaan itu nanti namun untuk mengelakkan perkara berkenaan datang terlalu awal, Azlan sering kali mengadakan latihan di studio miliknya.
“Kalau saya keluarkan lagu yang tanpa jeritan mungkin aneh. Menyanyi dengan jeritan itu lebih selesa. Kalau ikutkan dengan usia yang meningkat, saya rasa akan ada isu juga. Tapi saya bersedia saja.
“Kalau tak boleh menyanyi juga, mungkin saya jadi penerbit telefilem,” katanya berseloroh.
Tambahnya lagi, ukuran untuk meletakkan penyanyi itu bagus atau tidak bukanlah terletak kepada kebolehan nyanyian bernada tinggi semata-mata.
Ada penyanyi yang tidak boleh menarik suara tinggi tapi masih boleh menjadi penyanyi yang hebat apabila mereka menjaga teknik pitching dan tempo.
“Kita ambil Tan Sri P Ramlee sebagai contoh, suaranya sedap tanpa perlu jerit. Pitching rendah sahaja tetapi menjadi antara penyanyi hebat era tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Azlan berbangga apabila lagu Jangan Khianati Aku dianugerahkan Platinum Award oleh syarikat rakaman Indigital Music yang berlangsung baru-baru ini.
Anugerah yang diberikan berdasarkan jualan lagu berkenaan yang memperoleh lebih RM300,000 itu, melayakkan dia menerima penghargaan berkenaan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong lagu tersebut. Memang lagu ini sangat istimewa dan kekal diminati sehingga ke hari ini.
“Saya bersyukur kerana dapat juga menerima penghargaan ini yang memang dinanti-nantikan oleh kebanyakan anak seni. Terima kasih terus menyokong saya,” ujarnya lagi.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.