“SAYA sedar bahawa hidup yang akan saya lalui sangat singkat kerana penghujung kanser itu adalah mati,” kata Roslan Aziz menyimpulkan apa yang sedang berlaku kepada dirinya ketika ini.
Diuji dengan kanser limfoma, tiada siapa mengetahui derita yang sedang dilalui oleh maestro muzik terkenal era 1990-an ini. Imbasnya, pada November 2021 dia mengalami sakit perut sehingga memaksa dia mendapatkan rawatan ke hospital.
Namun hasil daripada pemeriksaan rapi yang dibuat, doktor mengesahkan dia menghidap kanser yang sudah berada pada tahap- satu keadaan yang amat mengejutkan.
“Sudah tentu mula-mula saya amat bersedih apabila doktor mengesahkan saya menghidap kanser tetapi saya sangat bersyukur walau didiagnos kanser, keadaan saya tidaklah begitu teruk,” katanya kepada Astro Awani.
Dia yang begitu terbuka bercerita tentang keadaan semasa kepada wartawan yang hadir sendiri ke kediamannya sangat positif menerima ketentuan takdir.
Sebelum ini juga, ramai kenalan Roslan dalam kalangan penggiat industri turut melawat dan memberi sokongan kepadanya termasuklah Puan Sri Tiara Jacquelina dan pelakon Ida Nerina.
Kehadiran rakan-rakan dan kenalan kata Roslan, amat-amat dihargai kerana mengingatkan dirinya bahawa beliau masih dihargai dan disayangi.

“Saya bersyukur sebab ada keluarga dan kawan-kawan yang baik, yang betul-betul ambil berat pasal saya. Kanser juga menyedarkan saya bahawa dalam dunia ini, kita tidak boleh berseorangan.
“Saya sangat bersyukur kerana ada semua itu termasuk ayah yang berusia 83 tahun juga masih ada dan kami tinggal di rumah yang sama. Inilah hikmah yang saya tidak sedar ada di depan mata,” kata lelaki berusia 60 tahun ini lagi.
Sepanjang terlibat dalam bidang seni, Roslan yang terkenal dengan jenama RAP (Roslan Aziz Production) sudah melahirkan ramai nama-mana besar termasuklah Datuk Sheila Majid, Datuk Zainal Abidin dan Datuk Adflin Shauki.
Mereka begitu masyhur pada 1999-an hasil tangan Roslan dan RAP sendiri yang mengatur pelbagai langkah untuk menguasai industri seni ketika itu.
Dalam satu hal lain pula, lelaki ini begitu terbuka membicarakan soal kematian yang diakui beliau semakin dekat dengan setiap seorang daripada kita.
Apa lagi berita kematian seorang demi seorang penggiat seni yang sampai ke telinga menyebabkan Roslan sudah bersedia untuk dijemput pulang oleh Yang Maha Esa.
“Saya diberitahu oleh doktor hanya ada masa sehingga enam bulan untuk hidup. Kalau dibuat kira-kira Jun ini hayat saya berakhir. Sepanjang hidup, apa yang saya kehendaki semuanya sudah saya lalui dan lakukan.
“Saya tahu saya akan mati, jadi saya kena buat persiapan. Tiada apa-apa yang perlu ditangisi lagi, cuma saya akan tidak akan berjumpa dengan isteri saya lagi, begitu juga dengan anak-anak,” kata Roslan.
Sebagai info, Roslan pernah berkahwin dengan Sheila Majid dan bercerai pada 2000. Melalui perkahwinan tersebut mereka dikurniakan Wan Nur Khaleda dan Megat Abdul Majid Aziz.
Roslan kemudian berkahwin dengan Sopphilea Abdul Hamid dan pasangan ini dikurniakan Megat Ali Aziz dan Megat Zayn Hamza Aziz. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.