Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KERAJAAN baharu disyorkan mengekalkan nama Perikatan Nasional (PN) kerana PN masih mendominasi gabungan itu selain dianggotai Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengesyorkan penggunaan itu berkata, ini kerana ahli Parlimen yang mendokong PN seramai 77 orang manakala BN pula seramai 41 Ahli Parlimen.
“Jadi, kami percaya ia mewakili kerajaan PN,” katanya yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas selesai mesyuarat PN di Kuala Lumpur, hari ini.
Sejak semalam, wujud perselisihan antara pemimpin UMNO dan Bersatu mengenai nama kerajaan baharu yang dipimpin Ismail Sabri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kelmarin mempertikaikan penggunaan nama kerajaan PN dalam kenyataan dikeluarkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, dengan mendakwa itu rujukan kepada kerajaan terdahulu.
Katanya, kerajaan dulu ialah gabungan BN, PN, PBS dan GPS, bukannya kerajaan PN.
Seramai 114 Ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sebelum ini membabitkan parti komponen PN (54), BN (41), Gabungan Parti Sarawak (18) serta seorang ahli Parlimen daripada Parti Bersatu Sabah (PBS). – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.