PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong sebarang usaha atau cadangan untuk bergabung dengan mana-mana parti yang sehaluan, bagi meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Namun, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, langkah itu memerlukan kerjasama banyak pihak yang sependapat bagi mencapai kata sepakat, termasuklah isu-isu berkaitan terutama bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri pada PRU15 nanti.
“Ini bukan sahaja bergantung kepada pihak saya, tetapi lebih baik kepada pihak-pihak yang sependapat bahawa langkah sebegitu adalah wajar untuk menentukan kemenangan kita di dalam PRU yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Kementerian Kewangan, Putrajaya, pada Khamis.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, beliau sentiasa terbuka untuk sebarang perbincangan dengan mana-mana parti bagi menjalin kerjasama serta berbincang mengenai strategi menentukan kemenangan pada PRU15.
“Saya fikir mungkin bulan puasa ini saya perlahan sikit, tapi selepas itu dah Raya (sambutan Aidilfitri) esok (Mei) mungkin kalau situasi mengizinkan, dan ada kecenderungan dan minat dari pihak-pihak daripada mana-mana parti sekali pun.
“Bertemu dan berbincang, cara bagaimana hendak menghadapi strategi PRU-15 secara bersama-sama dan mengelakkan pertembungan antara satu sama lain, kita akan cuba usahakan,” katanya.
Cadangan untuk bergabung di dalam PRU15 itu timbul selepas Barisan Nasional (BN) menang selesa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor.
Muhyiddin dilihat sebagai calon paling layak mengemudi pakatan baharu itu, namun setakat ini, belum ada sebarang perjumpaan atau perbincangan rasmi antara parti yang berminat. Sebelum ini, Muhyiddin pernah mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili parti Pejuang. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.