KERAJAAN menyasarkan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti pada sesi Parlimen Julai ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata kerajaan tidak ada niat untuk melewat-lewatkan atau tidak membentangkan Akta Anti Lompat Parti, namun ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang akan dibentangkan esok.
“Ada pihak yang terkeliru cuba memainkan isu seolah-olah kerajaan tidak ikhlas dalam soal membentang Akta Anti Lompat Parti,” katanya kepada media selepas menghadiri taklimat khas mengenai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022, pada Ahad.
Turut hadir dalam taklimat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.
Ismail Sabri berkata sebaik sahaja RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 diluluskan dengan majoriti dua pertiga atau lebih 148 undi, kerajaan akan membentuk satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada wakil kerajaan, pembangkang dan ahli akademik untuk meneliti dan mengubal RUU Akta Anti Lompat Parti.
“Saya harap perkara ini dapat dipercepatkan kerana sasaran kerajaan adalah untuk membentangkan Akta Anti Lompat Parti ini pada sesi Parlimen Julai.
“Bagaimanapun ia tergantung kepada jawatankuasa khas nanti, secepat mana mereka boleh mencadangkan untuk dibentangkan ke dalam Kabinet untuk persetujuan. Selepas Kabinet bersetuju maka kita boleh bentangkan segera di Parlimen,” katanya.
Ismail Sabri berkata beliau yakin RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 akan diluluskan.
“Setakat hari ini daripada kenyataan media kita baca, dari parti-parti kerajaan semuanya menyokong. Pembangkang, Pakatan Harapan pun dah buat kenyataan, berjanji sewaktu berjumpa dengan saya, mereka juga akan menyokong.
“Jadi saya rasa tidak timbul isu tentang pindaan ini tidak diluluskan. Saya harap apa yang dijanjikan akan ditepati esok,” katanya.
— BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.