Sultan Johor kurnia sumbangan kepada dua penyelam terselamat

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada dua penyelam warga asing yang ditemui selamat selepas hilang di perairan Tokong Sanggul, Mersing, Rabu lalu.

Dalam hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, kurniaan itu diserahkan kepada warga Britain, Adrian Peter Chesters dan seorang warga Perancis iaitu Alexia Alexandria Molina oleh Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali.

Sumbangan berkenaan telah pun diberikan kepada kedua-dua mangsa yang kini berada di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar KPJ, Pasir Gudang.

Kedua-dua mangsa turut menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas ingatan dan kurniaan serta mengambil berat akan keadaan mereka.

Adrian dan Alexia telah ditemui di perairan sekitar Pengerang, Kota Tinggi oleh nelayan kira-kira pukul 1 pagi, semalam.

Pada Rabu lepas, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman.

Bagaimanapun, jurulatih selam warga Norway Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat dalam keadaan terapung lengkap dengan pakaian dan peralatan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi Khamis lepas.

Adrian turut mengesahkan bahawa anaknya iaitu Nathen Renze Chesters, 14, telah meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.

Nathen dipercayai telah meninggal dunia dan hanyut ke perairan Indonesia.

Sultan Johor sebelum ini telah menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu sehingga hasil siasatan kes berkenaan selesai.

Sultan Ibrahim turut menitahkan kajian semula seluruh prosedur operasi standard (SOP) keselamatan aktiviti menyelam di Mersing. – SB