Lempar telefon peminat hingga remuk, Ronaldo mohon maaf

SELEPAS rakaman video menampar telefon pintar dari tangan peminat hingga terhempas ke lantai lalu remuk tular, bintang bola sepak Manchester United, Cristiano Ronaldo meminta maaf berhubung tindakannya itu.

Kejadian itu berlaku selepas kekalahan kedua berturut-turut buat kelab bola sepak itu di tempat lawan buat kali pertama sejak Januari 2020, apabila tewas 1- 0 menentang Everton pada Sabtu.

Kekalahan itu menjadi satu tamparan besar kepada harapan Red Devils untuk layak ke Liga Juara-juara (UCL), apabila Tottenham menang menentang Aston Villa sekaligus menyaksikan pasukan Ralf Rangnick ketinggalan enam mata daripada empat teratas.

Selepas perlawanan tamat, satu video mula tersebar di media sosial yang memaparkan Roanaldo memecahkan telefon penyokong Everton dengan menamparnya hingga terhempas ke lantai.

Susulan itu, Ronaldo membuat satu hantaran di Instagram rasmi miliknya untuk menjelaskan dan meminta maaf atas tindakannya.

Sebagai tanda ‘permainan adil dan semangat kesukanan’, Ronaldo turut menjemput peminat terbabit untuk menonton perlawanan di Old Trafford.

“Tidak mudah untuk menangani emosi dalam saat-saat sukar seperti yang kita hadapi. Namun begitu, kami perlu sentiasa menghormati, bersabar dan menunjukkan contoh kepada semua anak muda yang meminati permainan cantik itu.

“Saya ingin memohon maaf atas keterlaluan saya dan, jika boleh, saya ingin menjemput penyokong ini untuk menonton perlawanan di Old Trafford sebagai tanda permainan adil dan semangat kesukanan,” tulisnya dalam hantaran itu.

United kini hanya menang dalam lapan daripada 17 perlawanan liga di bawah kendalian Rangnick dengan nisbah kemenangan 47 peratus, rekod mereka bersama pengurus daripada Jerman itu adalah yang paling teruk di bawah mana-mana pengurus dalam pertandingan itu. –SB