SERAMAI 30 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar yang sudah mendaftar masuk ke asrama didapati positif Covid-19.
Susulan itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar telah mengeluarkan notis perintah penutupan selama tujuh hari bermula semalam (Sabtu).
Perkara tersebut disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon.
Jelasnya, daripada 30 pelajar itu, 11 pelajar disahkan positif selepas melakukan ujian saringan pada hari ketiga mendaftar masuk ke asrama di situ sejak Isnin lalu.
Katanya, ujian saliva telah dilakukan ke atas semua pelajar pada hari kelima dan hasil ujian mendapati 19 lagi pelajar positif Covid-19.
“Kuarantin ke atas semua pelajar yang positif telah dibuat di tempat yang ditetapkan.
“Pengasingan serta-merta juga telah dilakukan atas nasihat PKD Muar,” katanya memetik laporan Bernama pada Ahad.
Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu turut mengesahkan penutupan MRSM berkenaan. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.