Terbuka Korea: Jin Wei lepasi halangan ke suku akhir

BEKAS juara remaja dunia Goh Jin Wei meneruskan perjuangan selepas berjaya melangkah ke suku akhir dalam Kejohanan Badminton Terbuka Korea 2022 di Suncheon, pada Isnin.

Jin Wei, yang ketika ini berada di ranking 128 terbaik dunia, menundukkan pemain nombor 187 dunia dari Korea Selatan, Lee Se Yeon, 21-17, 17-21, 21-12 dalam pertarungan selama 57 minit pada pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Palma.

Beliau yang kali terakhir menyertai pertandingan pada Jun lepas, akan menentang Kim Gaeun selepas pemain tuan rumah itu membuat kejutan besar dalam kejohanan kali ini apabila menyingkirkan juara Olimpik, Chen Yu Fei dari China, 21-17, 21-19.

Sementara itu, dua beregu campuran Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Ong Yew Sin-Goh Liu Ying berpeluang untuk merebut empat tempat terakhir apabila mereka berjaya layak ke peringkat suku akhir hari ini.

Kian Meng-Pei Jing, yang merupakan pilihan kedua kejohanan, menyingkirkan pasangan bukan pilihan tuan rumah, Na Sung Seung-Kim Min Ji, 21-11, 21-9, manakala Yew Sin-Liu Ying tidak perlu memerah tenaga apabila lawan mereka yang juga pilihan pertama, Seo Seungjae-Chae Yujung dari Korea Selatan menarik diri daripada perlawanan pusingan kedua.
 
Kian Meng-Pei Jing akan berdepan pilihan kelima, Ou Xuan Yi-Huang Ya Qiong selepas pasangan dari China itu melepasi halangan pusingan kedua menentang beregu India, B. Sumeeth-Ashwini Ponnappa dalam set penentuan, 22-20, 18-21, 21-14, manakala Yew Sin-Liu Ying akan menentang pasangan tuan rumah, Kim WonHo-Jeong Na Eun.

WonHo-Na Eun, yang merupakan beregu bukan pilihan, terdahulu menang ke atas pilihan kelapan dari Singapura, Hee Yong Kai Terry-Tan Wei Han, 19-21, 21-18, 21-12.

Bagaimanapun, pilihan ketiga dari Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas mengejut di tangan pasangan bukan pilihan dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, dalam straight set, 21-15, 23-21.

Sementara itu, pemain profesional perseorangan lelaki, Cheam June Wei gagal mengatasi  Weng Hong Yang dari China selepas tewas 14-21, 21-17, 17-21. – Bernama