HOSPITAL Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) memulangkan semula sebanyak 80 unit mesin Oxygen Concentrator kepada Pusat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0.
Menerusi satu kenyataan rasminya di Facebook, HTAR berkata tindakan itu susulan jumlah pesakit Covid-19 semakin berkurangan di hospital itu ketika ini.
HTAR turut menzahirkan penghargaan kepada Pengarah PKRC, Dr. Shahabuddin Ibrahim yang meminjamkan mesin itu sepanjang menghadapi tempoh bencana sebelum ini.
“Pihak HTAR memutuskan untuk memulangkan semula peralatan tersebut memandangkan jumlah pesakit Covid-19 di hospital ini semakin menurun.
“Segala sumbangan dan sokongan daripada pihak luar ke HTAR amatlah dihargai dan diucapkan jutaan terima kasih,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, HTAR menjelaskan Bahagian Logistik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima dan akan menyusun semula keperluan peralatan berkenaan untuk digunakan di negeri-negeri lain yang mengalami peningkatan kemasukan pesakit secara mendadak.
Selasa lalu, Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi memaklumkan kemasukan harian pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan di hospital itu berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu sebelumnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.