SEMUA kelas perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam rentas sempadan antara Malaysia ke Singapura dibenarkan beroperasi mulai 1 April ini.
Keputusan itu selaras dengan pengumuman pembukaan sempadan darat antara Malaysia dan Singapura mulai tarikh yang sama.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kebenaran itu termasuk semula kelas kenderaan perkhidmatan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, bas pelancongan, bas pekerja dan teksi rentas sempadan.
Oleh yang demikian, beliau memaklumkan, semua operator perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam boleh membuat persiapan ke arah memulakan semula operasi masing-masing.
Menurut beliau, ia termasuk memperbaharui semua permit atau lesen sama ada dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau dengan pihak berkuasa di Singapura.
Namun begitu, Ka Siong berkata, penyediaan atau permulaan perkhidmatan sebenar tertakluk kepada kesediaan operator yang terlibat untuk memulakan semula operasi kepada orang ramai.
“Semua operator kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan juga diingatkan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) kesihatan sedia ada termasuk menyediakan kod QR dalam kenderaan yang beroperasi.
“Semua operator juga hendaklah memastikan kod QR diimbas penumpang bagi tujuan pengesanan.
“Namun, selaras dengan ketetapan semasa, pihak operator tidak perlu membuat sebarang pemeriksaan sebelum menaiki kenderaan bagi menyemak status vaksinasi penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ka Siong memaklumkan, pengembara yang akan menggunakan kenderaan persendirian ke Malaysia pula diingatkan mendaftar dan mendapatkan permit kemasukan kenderaan asing (VEP) dengan melayari laman web vep.jpj.gov.my.
Kata beliau, kenderaan yang telah berjaya mendaftar akan dibekalkan dengan tag RFID-VEP yang turut dilengkapi dengan aplikasi e-dompet Touch n’ Go bagi tujuan pembayaran caj jalan (RC) dan tol.
“Semua kereta persendirian berdaftar Singapura juga dikehendaki membayar RC apabila masuk ke Malaysia.
“Bagi kenderaan yang telah didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID-VEP, pembayaran untuk RC boleh dibuat melalui e-dompet Touch n’ Go yang digabungkan dalam tag RFID.
“Kenderaan berdaftar Singapura yang masih belum didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID-VEP, pembayaran untuk RC masih boleh dibuat dengan menggunakan kad Touch n’ Go,” jelas beliau. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.