21,839 kes positif, 52 kematian baharu Covid-19

SEBANYAK 21,839 kes positif Covid-19 di seluruh negara direkodkan pada Jumaat sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia sejak penularan kini mencecah 4,101,081 kes.

Menurut data pada laman sesawang COVIDNOW, daripada jumlah kes yang direkodkan itu, sebanyak 287 kes dikenal pasti sebagai kes import.

“Kesemua kes tersebut dilaporkan di Selangor (10,842 kes), Kuala Lumpur (1,586 kes), Pulau Pinang (1,277 kes), Johor (1,235 kes), Perak (1,201 kes) dan Negeri Sembilan (1,134 kes).

“Seterusnya, Sarawak (980 kes), Kedah (845 kes), Melaka (686 kes), Pahang (608 kes), Terengganu (438 kes), Kelantan (378 kes), Sabah (372 kes), Putrajaya (130 kes), Labuan (80 kes) dan Perlis (47 kes),” demikian maklumat tersebut hari ini.

Sementara itu, sebanyak 52 kematian baharu akibat wabak berkenaan dilaporkan di seluruh negara setakat tengah malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini mencecah 34,717 orang.

Daripada kes kematian yang dilaporkan, sebanyak 15 kes dikenal pasti sebagai kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID). –SB