JURANG kemakmuran antara Bumiputera dan bukan Bumiputera kembali membesar, sekali gus memerlukan komitmen semua pihak, termasuk parti politik di dalam kerajaan untuk melakukan pembetulan.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu penelitian semula perlu dilakukan bagi mengangkat kembali kedudukan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama, sebagai teras negara untuk kesamarataan ekonomi.
Menurutnya dasar kemakmuran bersama itu menjadi semakin penting sekarang ini berbanding dahulu kerana sudah ada kelompangan yang ketara antara Melayu dan bukan Melayu, kaya dan miskin kata beliau seperti yang dilaporkan portal.
“Jurangnya akan membesar. Jika tidak diusahakan bersunguh-sungguh baik di dalam kerajaan atau parti yang mendukung kerajaan, negara akan berdepan masalah.
“Sebab itu dasar kemakmuran bersama ini menjadi lebih penting sekarang berbanding dulu. Pasal sudah ada satu ruang lompang yang lebih ketara antara Melayu dan bukan Melayu dan antara yang kaya dan juga miskin,” katanya dalam temu bual bersama Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, pada malam Khamis.
Sebab itu, kata Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, satu langkah besar yang memerlukan komitmen sepenuhnya daripada semua pemimpin untuk menterjemahkan program melalui program yang dijalankan kementerian.
“Katalah ambil contoh dasar kemakmuran bersama dalam pendidikan. Supaya jangan ada perbezaan ketara antara penguasaan ilmu oleh anak-anak Melayu dan anak bukan Melayu.
“Baik sekolah kebangsaan, seorang jenis kebangsaan, atau penguasaan bahasa Inggeris. Kenapa ada perbezaan ketara… pencapaian dari soal anak-anak di sekolah kebangsaan dan sekolah-sekolah lain. Itu sahaja satu bab yang agak luas bagaimana nak mencapainya.
“Saya fikir sewajarnya kerajaan yang ada sekarang pun perlu ke hadapan menggunakan dasar kemakmuran bersama ini sebagai satu daripada asas penting untuk membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi, supaya lebih berjaya dan lebih maju,” katanya.
Muhyiddin berkata jika ini dapat dilakukan maka semua rakyat akan memperoleh kemakmuran bersama.
“Bermakna kalau nak makmur, biar semua makmur. Bukan satu kumpulan, satu kaum saja. Itu dasar yang agak lebih adil. Yang kita letakkan.
“Tetapi, saya lihat bahawa penekanan itu agak tidak diberikan sewajarnya. Dalam kerajaan apa lagi, di luar kerajaan. Seolah-olah dia perlukan satu penelitian semula untuk mengangkat kedudukan dasar itu sebagai satu dasar teras negara kita yang menyerap kepada semua sektor-sektor yang ditaja oleh kementerian dan agensi-agensi di bawahnya,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.