CUBAAN seorang wanita lari daripada pemeriksaan polis berakhir dengan kereta yang dipandu melanggar sebuah papan tanda sebelum terjatuh ke dalam parit dalam satu kejadian di Taman Ampangan, Seremban, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, setelah diperiksa, wanita berusia 26 tahun itu bertindak sedemikian kerana tidak memiliki lesen memandu kelas D.
Katanya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan sekitar jam 1.20 pagi itu melihat kereta dinaiki wanita berkenaan telah berhenti dalam keadaan mencurigakan.
“Semasa hendak membuat pemeriksaan, dengan tiba-tiba kenderaan tersebut memecut laju ke arah Jalan Seremban-Kuala Pilah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, pihak polis mengekori kenderaan terbabit, namun suspek secara tiba- tiba memperlahankan kenderaan dan memandu secara mengundur lalu melanggar papan tanda jalan raya sebelum terjatuh ke dalam parit.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu tidak menemui apa-apa barang yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Sementara itu, video kejadian berkenaan turut tular di media sosial Tiktok.
Video berkenaan memaparkan kejadian ketika kenderaan terbabit melanggar papan tanda lalu terjatuh ke dalam parit sebelum seorang individu keluar sambil mengangkat tangan dan menyerahkan diri kepada pihak polis. —SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.