Siapa fitnah saya? – Jazlan nafi upah buat kecoh ’bubar Parlimen’ depan PM

0
490

DATUK Ahmad Jazlan Yaakob tidak akan memaafkan pihak yang membuat fitnah kononnya diri menjadi dalang tindakan sekumpulan pihak melaungkan ‘Bubar Parlimen’ di hadapan Perdana Menteri baru-baru ini.

Malah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu melafazkan sumpah “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” menyifatkan tuduhan ke atasnya adalah satu fitnah yang amat besar dan tidak berasas.

Nama Ahmad Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang disebut-sebut sebagai orang yang bertanggungjawab mengupah sekumpulan lelaki untuk melaungkan “Bubar Parlimen” di depan Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.

“Saya tidak memaafkan orang yang membuat perkara ini kepada saya sehingga manusia tersebut datang dan memohon maaf kepada saya, insya-Allah saya maafkan,” katanya di depan ahli UMNO Machang, malam tadi.

Memetik laporan MalaysiaGazette, Ahli Parlimen Machang itu pernah bersetuju dengan laungan itu, lebih lagi dilontarkan kepada Ismail Sabri.

Namun, tegasnya, beliau hendak tahu siapakah yang membuat fitnah itu dan pada masa sama menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilontarkan kepadanya.

“Saya mengutuk sekeras kerasnya perkara yang tidak beradab ini. Bagi saya ini adalah sebahagian daripada usaha pihak tertentu untuk membunuh karektor politik saya.

“Saya tak nak mencari populariti dalam UMNO, tetapi jiwa saya dalam parti adalah untuk UMNO. Saya akan melakukan apa saja untuk UMNO namun tidak sekali-kali melakukan perkara yang boleh memecah belahkan perpaduan sesama pemimpin.

“Lebih lagi, saat-saat seperti Perhimpunan Agung UMNO dan kita akan menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi. Ini adalah seikhlasnya pengakuan saya,” katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi tidak akan memaafkan sehingga ke akhirat sesiapa yang memfitnahnya kecuali individu itu datang memohon maaf kepadanya.

“Saya pun nak tahu siapakah yang telah membuat fitnah ini dan tanggunglah di akhirat nanti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here