Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ditipu ‘pegawai LHDN, polis’, Pekebun durian rugi RM20,000 -

Ditipu ‘pegawai LHDN, polis’, Pekebun durian rugi RM20,000

SEORANG pekebun durian di Raub, Pahang mengalami kerugian RM20,000 apabila ditipu sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berasal dari Raub dihubungi oleh suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai LHDN Alor Setar, Kedah untuk pengesahan maklumat peribadi.

“Panggilan kemudian disambung kepada seorang ‘pegawai polis’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar untuk semakan berhubung kes tunggakan cukai syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.

“Mangsa diarah menjelaskan tunggakan cukai berjumlah RM17,000 bagi mengelak tindakan mahkamah,” katanya melalui satu kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, mangsa yang bimbang akan dikenakan tindakan akur dan membuat bayaran pada hari yang sama dengan jumlah keseluruhan RM20,000 menerusi pindahan wang ke akaun bank atas nama seorang lelaki.

“Selepas membuat bayaran, mangsa cuba menghubungi suspek namun gagal apabila nombor telefon yang digunakan telah ditamatkan.

“Mangsa yang mula curiga telah membuat semakan di Pejabat LHDN Cawangan Raub dan mendapati tiada cukai tertunggak direkodkan atas namanya,” katanya.

Beliau menambah, setelah mengesyaki dirinya ditipu, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Raub, semalam untuk tindakan lanjut. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.