KISAH yang dekat dengan masyarakat penuh debaran dan mempunyai plot yang menarik merupakan antara elemen yang sering kali menjadi pilihan kebanyakan dalam penerbitan drama.
Maka tidak hairanlah sekiranya novel karya Siti Rosmizah Semail sering kali menjadi pilihan kebanyakan stesen TV memandangkan ia ‘cukup ramuan’ untuk divisualkan.
Menariknya, stesen TV Astro sudah membuat perjanjian kolaboratif membabitkan empat buah novel terlaris tulisan wanita ini secara eksklusif demi memastikan kandungan yang lebih baik disajikan kepada penonton.
Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, sekali lagi Astro membuktikan kemampuan berdaya saing dalam industri yang amat kompetitif dengan membawa kandungan berkualiti tinggi dan premium.
“Kehadiran Siti Rosmizah yang konsisten memberi jiwa kepada slot drama dalam Astro nyata memberi impak kepuasan terhadap penonton.
“Bagi pihak Astro, kami berharap seleksi karya novelis prolifik itu mampu menarik ramai peminat drama ke platform kami yang menjanjikan kualiti produksi, arahan dan lakonan mantap,” katanya.

Terdahulu telah berlangsung majlis menandatangani persefahaman tersebut turut disaksikan Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario.
Selaku penulis dan pemilik karya asal, Siti Rosmizah pula berbesar hati dapat berkongsi visi dan misi bersama Astro bagi mencapai sasaran menerbitkan drama berkualiti, sekali gus mencecah rating tertinggi.
“Nyata maklum balas memberangsangkan menerusi drama nukilan saya yang terdahulu membuatkan saya senang bekerjasama dengan Astro, malah berbesar hati terus diberi ruang untuk berkarya.
“Setiap drama juga mempunyai kekuatan tersendiri sama ada garapan cerita mahu pun penonjolan karakter yang mewarnai lagi perjalanan kisah,” katanya.

Antara novel yang terpilih dalam projek ini termasuklah Jangan Menangis Cinta; Andai Itu Takdirnya 1 & 2 dan Takdir Itu Milik Aku.
Sebenarnya ini bukanlah kali pertama karya Siti Rosmizah diangkat namun beberapa buah novel lain sudah diadaptasi termasuklah Lafazkan Kalimah Cinta, Curi-Curi Cinta dan Rindu Awak Separuh Nyawa.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.