Ahli UMNO digesa undi PN untuk ‘ajar’ Najib, Zahid

TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendedahkan ramai dalam kalangan ahli UMNO sebenarnya berbelah bahagi untuk terus mendukung parti berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, ramai yang mengakui pemimpin tertinggi UMNO termasuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan figura yang telah menjatuhkan UMNO.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, kebanyakan ahli UMNO masih belum mempunyai semangat dan kekuatan untuk menolak pemimpin-pemimpin tersebut.

“Mereka sekarang dalam keadaan tak tahu ke mana, hati tak berapa nak. Mereka tahu pemimpin mereka telah melakukan mungkar, pemimpin ini yang meletakkan mereka menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kita sembang dengan mereka, mereka mengaku Najib dah sebabkan kekalahan, Zahid dah buat UMNO jadi macam syarikat sendirian berhad, ini pemimpin besar UMNO sendiri yang beritahu kita.

“Jadi, kita kena bantu mereka dengan beri sedikit kesedaran dengan cara mengundi PN dan pastikan pada 13 haribulan ini, wakil kita mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor,” katanya berucap pada Ceramah UMUM PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah di pekarangan Pejabat PN / Bersatu Bahagian Parit Sulong malam tadi.
.
Dalam pada itu Ahmad Faizal mengaku beliau berasa tidak selesa berkempen di kawasan Parlimen Parit Sulong yang diwakili Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan itu terkilan kerana Noraini telah menarik sokongan terhadap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu.

Beliau amat kesal kerana Muhyiddin telah memberi sepenuh kepercayaan kepada Ahli Parlimen Parit Sulong dengan melantik sebagai Menteri selepas kerajaan PN dibentuk sebelum ini.

“Saya rasa cukup tak selesa nak kempen dalam Parlimen Parit Sulong kerana kawasan ini ada wakil dalam Kabinet.

“Waktu Muhyiddin dijatuhkan, salah seorang yang menarik sokongan adalah ‘kawan awak’ semua itu yang mewakili Parlimen sini.

“Muhyiddin telah ambil orang Parit Sulong jadi menteri tetapi orang yang sama juga tarik sokongan kepada anak Johor yang berjaya menjadi Perdana Menteri terbaik dalam negara,” katanya.

Untuk rekod, Noraini merupakan salah seorang daripada 15 Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada Muhyiddin sekali gus menyebabkan Ahli Parlimen Pagoh itu terpaksa melepaskan jawatan selaku Perdana Menteri, tahun lalu.