[VIDEO] Apa UMNO sumbang selepas 100 hari di Melaka? – Mas Ermieyati

SELEPAS 100 hari memegang tampuk pentadbiran Melaka, masih belum ada sumbangan signifikan yang diberikan oleh kerajaan yang diterajui UMNO.

Justeru, Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menasihatkan pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor agar tidak mengulangi kesilapan sama memberikan UMNO kuasa seperti mana yang berlaku pada PRN Melaka pada 20 November lalu.

Beliau juga berkata, tindakan UMNO yang mendesak pilihan raya diadakan di kedua-dua negeri bukan sahaja telah menyusahkan rakyat tetapi juga telah menaburkan pelbagai janji manis kepada pengundi, namun apabila telah mendapat kuasa melupakannya.

“Selepas 100 hari memerintah Melaka dan menaburkan pelbagai janji manis kepada rakyat negeri itu apa sumbangan yang telah UMNO berikan?

“Satu-satunya kejayaan UMNO dalam memerintah Melaka selama 100 hari selapas PRN ialah menukarkan nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka,” kata beliau ketika berucap di ceramah PRN di Kompleks Pas Batu Pahat di Kampung Sungau Tongkang Darat di Rengit pada malam Sabtu.

Jelas beliau, UMNO amat berbeza dengan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang setakat ini belum lagi pernah memungkiri janji-janji yang telah diberikan baik ketika pilihanraya mahupun di luarnya.

Menurut Mas Ermieyanti, semua janji yang ditunaikan telah terbukti dengan perlaksanaan dan faedahnya yang dapat dinikmati rakyat selama ini baik ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan selepas itu.

Jelas beliau, kesemua itu membuktikan bahawa berbanding UMNO dan Barisan Nasional, pilihan yang terbaik untuk mentadbir Johor adalah PN. – SB