PRN Johor: Ceramah kini dibenarkan sehingga 12 tengah malam

0
390

SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

SPR menerusi satu kenyataan memaklumkan, ketetapan SOP pencegahan Covid-19 dibuat berdasarkan cadangan pindaan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pindaan dan tambahan kepada SOP tersebut adalah seperti berikut:

a. Ceramah/syarahan/kempen dibenarkan diadakan di dalam dan di perkarangan pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi;

b. Jumlah kehadiran ceramah/syarahan/kempen tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang mengikut mana yang terendah, bagi memastikan penjarakan fizikal sekurangkurangnya 1 meter di antara satu sama lain dan memakai pelitup muka. Jumlah tersebut termasuk penganjur, urusetia, penceramah dan peserta;

c. Ceramah/syarahan yang diadakan tidak boleh melebihi pukul 12 tengah malam; dan

d. Ceramah/syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

Menurut SPR lagi, pindaan dan tambahan SOP berkenaan berkuat kuasa serta merta.

SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan tersebut bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam. – SB