PENEROKA Felda di Johor diberi jaminan mereka tidak lagi akan berdepan dengan masalah isu perumahan, sekiranya memilih Perikatan Nasional (PN) menerajui kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada 12 Mac ini.
Jaminan itu diberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas melancarkan Ikrar Perikatan Nasional ‘Demi Bangsa Johor’ hari ini dan menegaskan, kerajaan PN sudah pun banyak membantu menyelesaikan masalah berkaitan Felda termasuklah isu perumahan.
Pengerusi PN itu berkata, sebelum ini kerajaan PN sudah pun berjaya menyelesaikan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan akan berusaha mencari jalan penyelesaian bagi menangani projek perumahan yang terbengkalai semasa era kerajaan BN.
“InsyaAllah kalau kita berkuasa dan kita ada bentuk kerajaan, apa sahaja perkara yang tidak ditunaikan akan kita tunai, atau janji kosong dari pihak BN, kita akan cari jalan untuk selesaikan.
“Soal rumah untuk generasi kedua, yang saya kira antara perkara yang dibangkitkan di Tanah Rancangan Felda, ada setengah telah dijanji tetapi tidak dibina,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ikrar PN sempena PRN Johor di Johor Bahru, Johor, pagi ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mengumumkan Ikrar PN yang berteraskan lapan tunjang utama, berlandaskan 24 strategi dan 145 pendekatan.
Melalui ikrar itu juga, PN turut menawarkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat di Johor yang terjejas akibat kesan pandemik Covid-19 yang lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan beliau dilihat kurang agresif berkempen berbanding Datuk Seri Najib Razak, Muhyiddin secara sinis menyifatkan perbandingan itu sebagai tidak wajar.
“Apa yang Najib cakap itu mengarut, dia pun telah disabit kesalahan, macam mana awak boleh percaya cakap dia. Saya bercakap dengan fakta, saya tak berdiam diri.
“Jentera-jentera kempen kita ada di semua kawasan, ia adalah satu perkara tidak betul untuk membuat perbandingan saya dengan Datuk Najib, boleh ke buat perbandingan begitu?,” katanya secara sinis.
Najib serta Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah antara pemimpin daripada kelompok kluster mahkamah yang dilihat aktif berkempen di Johor. Kedua-duanya kini menghadapi perbicaraan di mahkamah atas tuduhan salah laku, rasuah serta penyelewengan dan salah guna kuasa.
Bekas perdana menteri keenam itu sudah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (S$67.8 juta) atas kesalahan menyeleweng RM42 juta (S$13.57 juta) dana SRC International Sdn Bhd (SRC) dan sedang dibicarakan berhubung kes penyelewengan 1MDB. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.