SETELAH lebih setahun melalui proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu royalti, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd lega apabila dokumen yang dirampas sudah dikembalikan semula.
Perkara tersebut didedahkan oleh Pengerusi PPM, Rosmin Hashim yang mengesahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada pihak media.
PPM disiasat berhubung dakwaan penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima oleh penggiat industri muzik di Malaysia.
“Sebagai Badan Pelesenan yang profesional, telus dan bertanggungjawab, PPM akan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam apa jua perkara yang memerlukan perhatian mereka.
“Kami akan terus mematuhi semua undang-undang berkaitan operasi Badan Pelesenan. Kami juga akan terus mewakili kepentingan ahli kami dan industri muzik dengan integriti tertinggi,” katanya.
SPRM sudah memulangkan segala dokumen kepada PPM pada 17 Disember tahun lalu tanpa sebarang tindakan lanjut.
Menurut Rosmin, PPM ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada SPRM kerana sudah menjalankan tugas dengan penuh integriti dan profesional.
“Lembaga pengarah PPM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai SPRM yang terbabit kerana berhemah dan profesional semasa menjalankan siasatan.
“Dengan pengembalian dokumen berkaitan, kami percaya isu ini berakhir dan kami boleh bergerak ke hadapan untuk terus mewakili kepentingan ahli kami secara terbaik” jelasnya lagi.
Terdahulu, industri muzik tanah air gempar apabila empat badan perlesenan diserbu oleh SPRM termasuklah siasatan terhadap PPM walaupun tiada sebarang aduan dibuat oleh ahli mereka.
Menurut Rosmin, SPRM meminta beberapa dokumen untuk siasatan serta pelbagai kenyataan lisan dirakamkan oleh pegawai bertugas.
Isu royalti muzik ini bermula apabila Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez dilaporkan meminta campur tangan SPRM dalam pertikaian mengenai royalti RM30 juta yang belum dibayar kepada artis rakaman.
Beliau mahu siasatan dijalankan berkemungkinan beberapa ‘tangan tersembunyi’ memanipulasi kutipan royalti untuk keuntungan mereka sendiri.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.