GUNUNG Kinabalu mengalami fenomena luar biasa apabila kawasan di Sayat-sayat sehingga ke puncaknya dituruni salji selama lebih kurang tiga minit pada pagi Isnin.
Cuaca ketika kejadian difahamkan sangat sejuk sebelum ketulan putih seperti salji jatuh dari langit di Kilometer 8.72 berhampiran puncak Gunung Kinabalu.
Menurut laporan Sinar Harian, fenomena itu sempat dirakam oleh pelatih laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin, 47, ketika sedang menunggu pendaki turun dari puncak Gunung Kinabalu pada jam 7.18 pagi.
Hajiri berkata, kejadian itu berlaku secara spontan tetapi dalam tempoh masa yang pendek antara dua hingga tiga minit.
“Ketika itu saya sedang menunggu pendaki yang berada di puncak dan tiba-tiba ada salji turun tetapi sekejap saja antara dua hingga tiga minit.
“Ketika kejadian, saya berada di Sayat-Sayat Check Point dan saya percaya ia sehingga di puncak,” katanya,
Hajiri berkata, beliau yakin bahawa ketulan putih itu sememangnya salji dan bukannya seperti ketulan ais yang biasa dilihat oleh mereka di puncak gunung berkenaan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Taman Kinabalu, Justinus Guntabid memaklumkan, fenomena salji turun di Gunung Kinabalu pernah direkodkan pada 1975 dan 1993.
Katanya , keadaan cuaca yang lebih sejuk berbanding kebiasaan dipercayai menjadi punca fenomena tersebut.
Malah, rakaman kejadian salji di Gunung Kinabalu tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.