JANGKAAN yang mengatakan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal menjadi Perdana menteri kesembilan hampir menjadi nyata.
Ini rentetan kejayaan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tersebut berjaya mengumpul jumlah surat akuan (SD) tertinggi iaitu dengan 114 sokongan Ahli Parlimen.
Menurut laporan beberapa media tempatan, perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika dihubungi mereka.
Terdahulu, tular melalui applikasi WhatsApp satu tangkap layar pengesahan daripada Ahmad Maslan yang menyatakan kesemua 114 ahli Dewan Rakyat itu akan dipanggil ke Istana Negara pagi nanti.
“Esok Khamis, 19 Ogos bermula pukul 10 pagi, kami Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertolak ke Istana Negara dari WTCKL (Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur) dengan menaiki bas.
“Hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk pengesahan sokongan sekali lagi di Istana Negara. Ini bererti, Ismail Sabri dengan izin Allah S.W.T adalah calon Perdana Menteri yang menang,” katanya dalam tangkap layar itu.
Bagi penjadualan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menghadap pada pukul 10 pagi dan kemudian disusuli oleh Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) pada pukul 11 pagi.
Pada pukul 2 petang adalah sesi menghadap bagi UMNO dan BN serta yang terakhir ialah Pas pada pukul 4 petang. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.