KPM, Lembaga Peperiksaan buka bilik gerakan tangani masalah banjir di pusat peperiksaan SPM

SITUASI banjir yang kamu runcing di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan telah turut menjejaskan beberapa buah pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kedua-dua negeri.

Senario itu telah diambil maklum oleh Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dan beliau telah mengarahkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan untuk mengambil langkah segera bagi menangani masalah itu.

“Saya mengambil maklum tentang situasi banjir di Terengganu dan Kelantan yang turut menjejaskan beberapa pusat peperiksaan SPM di negeri tersebut.

“KPM telah membuka bilik gerakan banjir dan Lembaga Peperiksaan juga sedang mengambil tindakan untuk menguruskan pusat peperiksaan yang terlibat,” jelas beliau dalam hantaran di laman Facebook rasminya pada Ahad.

Radzi turut mengajak orang ramai untuk sama-sama mendoakan semoga banjir tidak berlarutan agar calon-calon SPM 2021 dapat membuat persedian untuk menduduki peperiksaan yang bakal bermula 2 Mac ini dalam keadaan selamat. – SB