Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRN Johor: Pek perlindungan Covid-19 jadi cenderahati kempen PN  -

PRN Johor: Pek perlindungan Covid-19 jadi cenderahati kempen PN 

PAKET pelitup muka, pencuci tangan serta lencana dijadikan pilihan sebagai cenderahati oleh calon Perikatan Nasional (PN) kepada masyarakat di sekitar Batu Pahat, Johor. 

Sumbangan itu akan diserahkan kepada orang ramai khasnya pengundi yang ditemui calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Sia Wee Yet. 

Tinjauan SatuBerita di bilik gerakan PN DUN Penggaram di Kampung Kenangan Dato Onn Dua di Batu Pahat mendapati, jentera parti sibuk mempersiapkan bahan kempen mereka. 

Semua bahan kempen itu dihantar ke bilik gerakan secara berperingkat sejak pagi tadi selepas selesai proses penamaan calon. 

Selain paket perlindungan Covid-19, turut kelihatan batang buluh untuk dijadikan tiang bendera PN, kain rentang dan poster. 

Seorang jentera parti, Asis Bakri ketika ditemui berkata, mereka memilih paket pelitup muka itu bertujuan mendidik pengundi supaya sentiasa menjaga kebersihan diri. 

“Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pesan, kita jaga kita. Jadi, kita kena bantu dan mendidik masyarakat supaya sentiasa patuh SOP dan jaga keselamatan diri. 

“Idea ini pernah dilakukan ketika PRN Sabah dan terbukti sangat berkesan,” katanya yang berasal dari Sabah dan datang ke Johor bagi membantu jentera PN di Batu Pahat. 

Sia Wee Yet, seorang ahli perniagaan bakal berdepan saingan empat penjuru daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta calon Bebas bagi merebut kerusi Penggaram. 

Berdasarkan daftar pemilih terkini untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, seramai 69,148 pengundi layak mengundi dengan 55 peratus daripada mewakili kaum Cina. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi awal pada 8 Mac dan hari mengundi pada 12 Mac nanti. – SB