Gaduh di HRPB: Lelaki didakwa cederakan dua individu sehingga parah

SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan mencederakan dua individu sehingga parah, Sabtu lepas yang tular dalam media sosial.

V. Lingkswaran, 25, yang bekerja sebagai penyelia pengangkutan, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Dia dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki P. Navaneshwaran, 24, dan seorang wanita N. Laxmi, 29, dengan menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sekolah, Guntong pada 11 malam, 19 Februari lepas mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman tidak menawarkan wang jaminan kerana tertuduh tinggal berhampiran dengan kedua-dua mangsa dan kes merupakan kesalahan berat membabitkan kecederaan parah kepada mangsa, namun peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu kedua-dua mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan sebutan semula kes ditetapkan pada 20 April ini.

Media sebelum ini melaporkan empat lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dan beberapa video tular berhubung kejadian itu. – Bernama