SOKONGAN kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana menteri yang baru terus bertambah terkini dengan sokongan sebulat suara oleh Pas.
Sokongan sebulat suara itu telah diumumkan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mana beliau turut menyatakan bahawa kesemua 18 ahli parlimen parti itu telah menandatangani surat akuan bersumpah untuk memberi sokongan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.
Dengan sokongan tersebut, dijangkakan Ismail bakal mendapat sokongan majoriti untuk menjawat jawatan tertinggi pentadbiran negara itu selepas Tan Sri Muhyiddin yasin meletakkan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri baru-baru ini.
“Kita sokong sepenuhnya dan SD (akaun bersumpah) sudah siap untuk kita hantar (Istana Negara) petang ini. Kita sudah pun buat keputusan.
“(Di peringkat) PAS tiada isu lagi, semua 18 (Ahli Parlimen) ‘solid’ kita beri sokongan (kepada Ismail Sabri),” katanya ditemui media di lobi Menara Dato Onn’ hari ini.
Terdahulu, Tuan Ibrahim bersama beberapa pemimpin Pas antaranya Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hasan; Naib Presidennya, Idris Ahmad dan Ahli Pimpinan Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali hadir mesyuarat di ibu pejabat UMNO itu bersama pemimpin UMNO.
Mengulas lanjut, beliau beekata, soal kedudukan atau panggilan nama Perikatan Nasional (PN) selepas ini tidak dibincangkan pada pertemuan dengan pemimpin UMNO dan BN hari ini.
“Kita cuba selesaikan isu yang kita hadapi sekarang. Yang lain kita akan bincang bersama kemudian,” katanya.
Istana Negara dalam kenyataan hari ini, memaklumkan SD itu diperoleh bagi memudahkan urusan baginda dalam menentukan calon ahli Parlimen yang memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Selain Pas dan BN, turut mencalonkan Ismail Sabri bagi jawatan itu adalah Bersatu serta beberapa Ahli Parlimen Bebas.
Manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membuat keputusan selepas mesyuaratnya petang ini.
Dua lagi calon Perdana Menteri adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.